Press Release


MAJLIS PELANCARAN DANA UNIT AMANAH AMANAHRAYA

Kuala Lumpur, 21September 2006 – AmanahRaya Unit Trust Management Sdn Bhd (ARUTM) hari ini melancarkan dua dana bon iaitu AmanahRaya Unit Trust Fund (ARUTF) dan AmanahRaya Syariah Trust Fund (ARSTS).

Dengan strategi pelaburan yang kukuh, dana AmanahRaya Unit Trust Fund (ARUTF) dilaburkan di dalam portfolio yang pelbagai, iaitu minima 70 peratus nilai aset bersih (NAB) ARUTF di laburkan di dalam sekuriti bon dan instrumen pasaran wang. Selain itu, sebanyak 30 peratus nilai aset bersih ARUTF dilaburkan di dalam akaun Amanah Raya Berhad- ITA atau akaun-akaun amanah yang lain. Harga permulaan jualan seunit berharga RM 1.00, di mana 1 peratus dari nilai aset bersih setiap unit akan dicaj servis permulaan. Manakala sebanyak 1 peratus setahun daripada nilai aset bersih dana akan dicaj untuk pengurusan tahunan. Bagi pelaburan permulaan minima sebanyak RM 500.00 dan tambahan RM 100.00 minima.

AmanahRaya Unit Trust Fund dijangka menawarkan faedah portfolio pelaburan kepada para pelaburnya. Risiko pelaburan yang dipelbagaikan untuk melindungi kepentingan para pelabur. Setiap pelaburan diuruskan oleh pengurus yang berpengalaman dan profesional serta yang terbaik di bidang amanah saham.

Manakala, AmanahRaya Syariah Trust Fund (ARSTF) merupakan dana bon syariah di mana dijangka mencapai pelaburan berisiko rendah ke sederhana yang dilaburkan didalam sekuriti bon syariah, pasaran wang syariah dan akaun-akaun amanah syariah. Faedah melabur didalam AmanahRaya Syariah Trust Fund dimana akan dilaburkan di dalam Amanah Raya Berhad- ITA (Syariah) yang mempunyai ciri pengekalan modal dan risiko pelaburan yang rendah berbanding dengan pelaburan ekuiti.
Pengurusan dana-dana didalam AmanahRaya Unit Trust Fund (ARUTF) dan AmanahRaya Syariah Trust Fund (ARSTF) akan diuruskan  oleh AmanahRaya- JMF Asset Management Sdn Bhd (ARJMF), salah sebuah syarikat pengurusan dana pelaburan yang terbaik di Malaysia.

Mengenai AmanahRaya Unit Trust Management Sdn Bhd
AmanahRaya Unit Trust Management Sdn Bhd (ARUTM) memulakan operasi dengan nama AmanahRaya Asset Management Sdn Bhd (ARAM) yang telah telah diperbadankan pada 17 November 2000 dan merupakan sebuah anak syarikat milikpenuh Amanah Raya Berhad (ARB). Pada 23 Ogos 2006 ia mempunyai modal dana sebanyak RM 25 juta dan modal berbayar sebanyak RM 10 juta. ARAM ditubuhkan dengan tujuan untuk menjalankan operasi pelaburan yang mana dahulunya ditadbir oleh jabatan pelaburan di ARB. Penubuhan ARAM juga bertujuan untuk memajukan kepakaran dan kemampuan di bidang-bidang perkhidmatan pelaburan selain daripada aspek pengurusan dana.

Pada Ogos 2005, ARB telah memeterai perjanjian untuk membeli 75 peratus ekuiti saham dalam JMF Asset Management Sdn Bhd. Pada Oktober 2005, operasi pengurusan dana ARAM telah dipindahkan ke AmanahRaya- JMF Asset Management Sdn Bhd (ARJMF). Semenjak itu ARAM tidak lagi aktif atau dorman.

Bagi memenuhi hasrat ARB untuk melancarkan Dana Amanah Saham, ARAM telah ditukarkan kepada Syarikat Amanah Saham dan namanya ditukar kepada AmanahRaya Unit Trust Management (ARUTM) pada 27 Julai 2006. ARUTM ditubuhkan untuk menjalankan dan mengedarkan dana-dana Amanah Saham. ARUTM bertanggungjawab mengenai pengurusan dana iaitu termasuk pendaftaran pelabur unit amanah, memastikan dana mempunyai aset cair yang mencukupi.

Mengenai Amanah Raya Berhad
Amanah Raya Berhad (AmanahRaya), syarikat milik penuh kerajaan yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Pemegang Amanah Raya dan Pegawai Pentadbir Pusaka Malaysia telah ditubuhkan pada 1921 dan diperbadankan pada 1995.
AmanahRaya menyediakan perkhidmatan Pengurusan Perwarisan; Penyediaan, Penyimpanan dan Pelaksanaan Wasiat; Pentadbiran Harta Amanah; dan Perkhidmatan Peramanahan.  Ia juga adalah Pemegang Amanah kepada 79 dana amanah saham yang bernilai melebihi RM72 bilion serta Pemegang Amanah bagi bon dan pelbagai instrumen kewangan dan pengurusan pelaburan.  AmanahRaya menawarkan produk dan perkhidmatan yang mesra pelanggan dan mudah dihubungi melalui 20 cawangan yang terdapat di seluruh Malaysia.

  •  Pada 28 September 2005,  AmanahRaya telah menguasai 70% saham JMF Asset Management Sdn. Bhd. dan telah menubuhkan satu entiti yang dikenali sebagai AmanahRaya-JMF Asset Management Sdn. Bhd. (ARJMF). 

  •  Anak syarikat AmanahRaya iaitu ARB Hartanah Sdn. Bhd. (ARBH) telah dikorporatkan pada 26 April 2001.

  •  Satu lagi anak syarikat AmanahRaya iaitu Amanah Raya Capital (ARC), telah ditubuhkan pada 30 Mei 2001. 

Untuk keterangan lanjut tentang produk dan perkhidmatan kami, sila hubungi talian ARUTF 03 – 2054 7200 atau layari laman web kami di www.arutm.com

 

Copyright (C) 2006 Amanah Raya Berhad