English | Bahasa Malaysia
 

Penyelesaian Peribadi


  
 

PUSAKA

Am

  1. Mengapa apabila dirujuk dengan bank berkaitan harta pusaka, bank akan selalu minta rujuk AmanahRaya? Apakah kaitan AmanahRaya dalam urusan harta pusaka simati?
    Amanah Raya Berhad (ARB) merupakan salah satu pihak yang mempunyai bidang kuasa dalam mengeluarkan surat kuasa dan mengendalikan pembahagian harta pusaka. Pada amnya, pihak bank memerlukan surat kuasa iaitu Surat Akuan atau Arahan daripada AmanahRaya sebelum pembayaran dapat dilakukan samada secara terus kepada waris atau kepada AmanahRaya  sebagai pentadbir kepada harta pusaka.
  1. Adakah AmanahRaya boleh membuat pentadbiran bagi aset kenderaan yang belum habis dibayar?
    Pihak AmanahRaya tidak boleh membuat pentadbiran ke atas kenderaan yang masih lagi mempunyai  pinjaman dengan Bank / agensi kewangan memandangkan hakmilik kenderaan tersebut masih menjadi milik Bank / agensi kewangan sehingga baki pinjaman selesai. Namun yang demikian, sekiranya terdapat aset lain yang mempunyai nilai untuk membayar baki hutang kenderaan tersebut, maka AmanahRaya boleh mentadbir aset kenderaan tersebut.
  1. Saya mempunyai kepentingan dalam harta pusaka simati kerana simati berhutang dengan saya. Bolehkah saya menuntut hutang daripada harta pusaka simati?
    Pemiutang boleh menuntut hutang daripada harta pusaka simati semasa proses pentadbiran harta pusaka simati dijalankan. Walau bagaimanapun, pemiutang perlu mengemukakan bukti yang kukuh bagi menuntut hutang simati tersebut.
  1. Bagi pemilik harta yang telah meninggal dunia dan lantikan Penama telah dibuat ke atas harta tersebut di agensi seperti KWSP, Tabung Haji dan Syarikat Insuran, adakah bayaran tersebut akan dibayar terus kepada Penama atau Pentadbir harta yang dilantik?
    Harta tersebut akan dibayar terus kepada Penama.
  1. Siapakah Penama dan apakah tanggungjawab Penama bagi kes pusaka orang Islam?
    Penama dalam pusaka orang Islam adalah WASI (Pemegang Amanah) dan tanggungjawab Penama tersebut adalah untuk membuat pembahagian berdasarkan faraid kepada waris – waris yang berhak selepas semua hutang – hutang simati diselesaikan.
  1. Adakah dengan pelantikan Pentadbir Pusaka, sebagai contoh AmanahRaya boleh menghalang pembayaran dibuat kepada Penama yang dinamakan?
    Tidak.
  1. Jika Penama (simati beragama Islam) gagal menjalankan tanggungjawab sebagai WASI dan tidak mengagihkan wang yang diterima melalui KWSP, Tabung Haji atau Syarikat Insuran kepada waris yang sah, apakah tindakan yang boleh diambil oleh waris – waris tersebut?
    Tindakan undang – undang boleh diambil untuk menuntut wang tersebut terhadap Penama atas kegagalannya menjalankan tanggungjawab sebagai WASI. Tindakan ini boleh diambil sama ada oleh waris-waris sendiri atau melalui Pentadbir Harta Pusaka yang telah dilantik.
  1. Sekiranya penerima pencen meninggal dunia, adakah wang pencen yang masih dimasukkan ke dalam akaun simati dianggap sebagai pusaka?
    Wang pencen yang diterima oleh penerima pencen adalah terhenti bermula daripada tarikh kematiannya. Oleh yang demikian, wang pencen yang diterima semasa hayatnya adalah sebahagian daripada harta pusaka dan wang pencen yang diterima selepas kematiannya adalah hak milik kerajaan Malaysia.

Permohonan

  1. Bila waktu yang sesuai untuk permohonan pentadbiran harta pusaka simati dilakukan?
    Tiada waktu khusus bagi membuat permohonan pentadbiran harta pusaka. Namun  dinasihatkan agar permohonan dilakukan secepat mungkin bagi mengelak terjadinya kematian berlapis.
  1. Siapa yang layak menjadi pemohon untuk kes-kes pentadbiran harta pusaka di ARB?
    Waris atau bukan waris kepada simati mempunyai kapasiti untuk bertindak sebagai pemohon bagi kes-kes pentadbiran harta pusaka di Amanah Raya Berhad.
  1. Perlukah semua waris hadir untuk permohonan?
    Tiada keperluan untuk semua waris hadir semasa membuat permohonan. Hanya Pemohon yang perlu hadir ke Amanah Raya Berhad.
  1. Mengapa sijil faraid diperlukan?
    Sijil faraid yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah adalah perlu bagi menentukan siapa yang layak mendapat pusaka simati serta bahagian yang berhak diterima.

Pembahagian

  1. Waris-waris bersetuju untuk membuat pembahagian harta secara sama rata. Dalam keadaan ini, bolehkah sijil faraid dikecualikan?
    Sijil faraid tidak boleh dikecualikan walaupun telah mendapat persetujuan waris-waris. Ini adalah kerana Sijil faraid yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah diperlukan untuk menentukan siapa yang layak mendapat pusaka simati dan bahagian yang berhak diterima. Namun yang demikian, pembahagian secara sama rata tersebut boleh dilaksanakan pada peringkat pembahagian harta pusaka kelak.
  1. Apakah tindakan Amanah Raya apabila terdapat waris yang tidak dapat dikesan di dalam senarai waris pusaka ketika harta pusaka tersebut sedang ditadbir oleh AmanahRaya? Ke manakah wang tersebut akan disalurkan?
    Sekiranya waris tidak dapat dikesan semasa pentadbiran harta pusaka sedang berlangsung, bahagian waris tersebut akan disimpan di AmanahRaya sehingga waris yang berhak tersebut datang membuat tuntutan yang sah.
  1. Bagaimana pihak Amanah Raya Berhad mengesan waris yang tidak dapat dikesan?
    Pihak Amanah Raya Berhad akan membuat semakan menggunakan Agency Link-Up System (ALIS) Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan maklumat tentang waris yang tidak dapat dikesan.
  1. Bolehkan saya menyemak harta yang ditinggalkan oleh simati di Amanah Raya?
    Semakan hanya boleh dilakukan oleh waris sahaja kerana maklumat adalah sulit.

AMANAH

Am

  1. Berapakah jumlah minima untuk membuka akaun amanah?
    Jumlah minima untuk pembukaan akaun Amanah Biasa adalah sebanyak RM2,000.00 dan Amanah Safecare adalah RM50,000.00.
  1. Bolehkah saya membuat amanah hartanah bagi rumah saya yang masih berhutang dengan bank?
    Amanah hartanah hanya boleh dilaksanakan ke atas hartanah yang bebas hutang dan telah mempunyai geran. Ini adalah bagi tujuan pendaftaran nama AmanahRaya sebagai pemegang amanah kelak.
  1. Bolehkah penerima wang amanah enggan menutup akaun amanah dan diletakkan di AmanahRaya sehingga satu masa tertentu atau sehingga penerima memerlukannya kelak?
    Akaun amanah tersebut perlu ditutup dan akaun yang baru boleh dibuka di mana penerima akan bertindak sebagai penderma kepada akaun amanah yang baru. Tempoh masa bagi penutupan akaun amanah berkenaan perlu di nyatakan di dalam Surat Ikatan Amanah. Akaun Amanah tersebut akan ditutup sebaik sahaja mencapai tempoh matang sepertimana yang terkandung di dalam Surat Ikatan Amanah.
  1. Jika saya menyimpan wang untuk anak saya di dalam Akaun Amanah, bila saya meninggal dunia, adakah waris saya yang lain akan memperolehi wang tersebut?
    Tidak. Wang yang tersimpan di dalam akaun Amanah tidak termasuk dalam harta pusaka yang perlu diagihkan menurut Hukum Syarak atau secara Faraid (bagi yang beragama Islam) atau mengikut Akta Pembahagian 1958 (bagi yang bukan beragama Islam).

Pengeluaran/Nafkah

  1. Siapakah yang berhak untuk membuat permohonan pengeluaran wang amanah bagi anak bawah umur?
    Permohonan hanya boleh dibuat oleh penjaga yang dilantik samada oleh Mahkamah, AmanahRaya atau melalui persetujuan / pakatan keluarga. Permohonan daripada pihak lain tidak akan diterima.
  1. Bagaimanakah cara untuk mengeluarkan wang amanah anak bagi tujuan perbelanjaannya?
    Wang amanah boleh dikeluarkan bagi tujuan pembayaran nafkah, pendidikan, perayaan atau apa-apa perbelanjaan lain demi kebajikan anak tersebut. Permohonan boleh dibuat dengan mengisi Borang Permohonan Bayaran Nafkah dan Lain-Lain Perbelanjaan yang boleh didapati di mana-mana kaunter AmanahRaya atau boleh juga membuat permohonan melalui surat yang dialamatkan ke cawangan AmanahRaya yang berdekatan.
  1. Bolehkah wang amanah anak bagi akaun amanah digunakan untuk pembelian rumah bagi tempat tinggal sekeluarga?
    Permohonan ini perlu mendapatkan kelulusan pihak pengurusan dan akan diteliti mengikut keperluan pembelian, pendaftaran nama atas geran rumah yang dibeli, jumlah keseluruhan wang amanah samada boleh menanggung pembelian, kebajikan anak tersebut dan lain-lain pertimbangan mengikut kes tertentu. Ini adalah bagi mengelak penyalahgunaan wang

Penutupan Akaun

  1. Berapa lamakah tempoh yang diambil untuk penutupan akaun yang telah mencapai tarikh matang?
    14 hari bekerja dari tarikh permohonan lengkap diterima oleh AmanahRaya

WASIAT

Am

  1. Apakah kelebihan membuat wasiat dengan AmanahRaya berbanding tempat lain?
    AmanahRaya adalah syarikat milik penuh Kerajaan dan mempunyai pengalaman dan kepakaran selama lebih 90 tahun dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dalam hal penulisan, penyimpanan wasiat dan pelaksanaan wasiat.
  1. Berapakah bayaran yang dikenakan untuk membuat wasiat di AmanahRaya sekiranya saya mempunyai lebih daripada satu aset?
    Bayaran yang dikenakan untuk membuat wasiat di AmanahRaya adalah sebanyak RM600.00 sahaja termasuk penulisan dan penyimpanan tanpa mengambil kira jumlah asset yang akan dinyatakan di dalam wasiat.
  1. Apa jenis harta yang boleh saya wasiatkan?
    Semua jenis harta yang dimiliki oleh individu boleh diwasiatkan samada harta alih atau harta tidak alih. Harta alih adalah seperti akaun bank, saham, kenderaan, emas, insuran, saham perniagaan dan lain-lain. Manakala, Harta tidak alih seperti tanah, rumah dan bangunan.  
  1. Sekiranya wasiat dibuat oleh pihak lain selain AmanahRaya, hanya penyimpanan wasiat yang ingin dilakukan di AmanahRaya, berapakah kos penyimpanan yang dikenakan?
    Bayaran yang dikenakan bagi perkhidmatan penyimpanan wasiat di AmanahRaya adalah sebanyak RM424.00 (termasuk GST) sekiranya melantik AmanahRaya sebagai Wasi / Pemegang Amanah atau RM636.00 (termasuk GST) sekiranya tidak melantik AmanahRaya sebagai Wasi / Pemegang Amanah. Kedua-dua bayaran tesebut adalah untuk seumur hidup.
  1. Hutang dan liabiliti saya lebih daripada harta saya. Bolehkah saya menulis wasiat?
    Boleh, walaupun hutang melebihi asset.

Pendaftaran

  1. Saya mempunyai beberapa akaun bank. Bagaimanakah cara untuk membuat pembayaran fi bagi pendaftaran “Wills Online”?
    Pembayaran fi bagi permohonan secara atas talian hanya boleh dibuat sekiranya pelanggan mempunyai akaun Maybank2u sahaja.
  1. Setelah membuat pendaftaran proses wasiat online, apakah langkah seterusnya?
    Setelah pendaftaran, pelanggan hanya perlu menunggu pihak AmanahRaya menghantar deraf wasiat dan sekiranya bersetuju dengan kandungan deraf wasiat tersebut, pelanggan boleh membuat temujanji untuk menandatangani wasiat atau pelanggan boleh menandatangani wasiat di tempat sendiri dengan disaksikan oleh dua (2) orang saksi-saksi wasiat yang memenuhi syarat . Pelanggan adalah dinasihatkan agar membawa semua dokumen berkaitan semasa temujanji seperti salinan kad pengenalan pewasiat, penerima dan salinan dokumen berkaitan aset.
  1. Apakah kegunaan kad wasiat?
    Sebagai dokumen pembuktian seseorang itu mempunyai wasiat di AmanahRaya.
  1. Adakah bayaran perlu dibuat untuk setiap pindaan wasiat?
    Bayaran yang dikenakan untuk setiap pindaan wasiat adalah RM159.00 (termasuk GST) sahaja.
  1. Saya telah membuat wasiat sebelum saya berkahwin tetapi setelah berkahwin saya tidak membuat pengemaskinian wasiat saya. Adakah wasiat tersebut masih sah?
    Bagi wasiat muslim, wasiat yang terdahulu dikira sebagai wasiat yang sah kecuali terdapat wasiat baru yang telah dibuat oleh pewasiat. Manakala bagi wasiat bukan muslim, wasiat yang dibuat semasa belum berkahwin akan terbatal secara automatik apabila pewasiat berkahwin.

Perlaksanaan

  1. Bolehkah AmanahRaya menjadi pentadbir sekiranya wasiat ditulis oleh pihak luar seperti peguam atau syarikat peramanahan yang lain?
    AmanahRaya boleh mentadbir wasiat tersebut dengan syarat  wasi asal yang dilantik di dalam wasiat perlu membuat akuan Penolakan Pentadbiran dan ditandatangani di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen / Majistret atau Pesuruhjaya Sumpah.

HIBAH

  1. Apakah makna Hibah & Amanah Hibah?
    Hibah adalah pemberian milikan harta seseorang kepada seseorang yang lain, semasa hidupnya secara sukarela tanpa mengharapkan balasan.

    Hibah AmanahRaya merupakan suatu akad/kontrak pemberian milikan harta seseorang kepada seseorang yang lain, semasa hidupnya secara sukarela tanpa mengharapkan balasan dan harta tersebut diamanahkan kepada Pemegang Amanah untuk suatu tempoh tertentu berdasarkan kepada Surat Ikatan Hibah dan Surat Ikatan Amanah. Surat Ikatan Hibah dipersetujui di  antara Penghibah dan Penerima Hibah manakala Surat Ikatan Amanah dipersetujui oleh Penerima Hibah dan Pemegang Amanah.

  1. Apa yang dimaksudkan dengan Hibah al-‘Umra dan Hibah al-Ruqba?
    Kedua-duanya merupakan Hibah bersyarat.

    Al-‘Umra bermaksud pemberian semasa tempoh hidup Penerima Hibah atau Pemberi Hibah dengan syarat harta tersebut dikembalikan setelah kematian Penerima Hibah kepada Pemberi Hibah (atau waris Pemberi Hibah jika beliau telah meninggal dunia).

    Al-Ruqba pula bermaksud suatu pemberian bersyarat yang ditentukan oleh Pemberi Hibah, di mana harta Hibah akan menjadi milik Penerima Hibah sekiranya Pemberi Hibah meninggal dunia. Tetapi jika Penerima Hibah meninggal dunia sebelum Pemberi Hibah maka harta Hibah akan kembali kepada Pemberi Hibah.

  1. Adakah AmanahRaya menawarkan Hibah al-‘Umra dan Hibah al-Ruqba?
    Tidak.
  1. Apakah rukun dan syarat Hibah?
    Sesuatu akad Hibah tidak akan terbentuk melainkan setelah memenuhi rukun dan syarat seperti berikut:
    • Pemberi Hibah (al-Wahib)
      Pemberi hibah hendaklah seorang yang berkeahlian seperti sempurna akal, baligh dan rushd. Pemberi Hibah mestilah tuan punya barang yang dihibahkan. Oleh kerana pemilik harta mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya, hibah boleh dibuat tanpa had kadar serta kepada sesiapa yang disukainya termasuk kepada orang bukan Islam, asalkan maksudnya tidak melanggar hukum syarak.
       
    • Penerima Hibah(al-Mawhublahu)
      Penerima Hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja (Islam dan bukan Islam) asalkan dia mempunyai keupayaan memiliki harta sama ada mukallaf atau bukan mukallaf. Sekiranya penerima hibah bukan mukallaf seperti masih belum akil baligh atau kurang upaya, penerimaan harta Hibah boleh dibuat oleh Wali Mal atau Pemegang Amanah bagi pihaknya. Penerima Hibah mestilah menerima harta yang dihibahkan dan berkuasa memegangnya. Dengan kata lain, penguasaan dan kawalan terhadap harta mestilah diberikan kepada Penerima Hibah.
       
    • Barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub)
      Barang atau harta yang hendak dihibahkan itu perlu memenuhi syarat-syarat berikut:
      • Ia hendaklah barang atau harta yang halal samada harta alih seperti wang tunai atau harta tak alih seperti bangunan, rumah dan tanah yang tidak mempunyai sebarang cagaran;
      • Ia hendaklah sejenis barang atau harta mempunyai nilai di sisi syarak;
      • Barang atau harta itu milik Pemberi Hibah;
      • Ia boleh diserah milikkan;
      • Ia benar-benar wujud semasa aqad (perjanjian); dan
      • Harta itu tidak bersambung dengan harta Pemberi Hibah yang tidak boleh dipisahkan.

    • Sighah iaitu Ijab dan Kabul
      Sighah hibah merupakan lafaz atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan penerimaan hibah. Ia tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
      • Ada persambungan dan persamaan di antara ijab dan qabul;
      • Tidak dikenakan syarat-syarat tertentu; dan
      • Tidak disyaratkan dengan tempoh masa tertentu.
  1. Apakah syarat untuk menjadi Penghibah?
    Penghibah mestilah seseorang yang;
    • Pemilik penuh harta hibah
    • Mempunyai kapasiti untuk menguruskan harta;
    • Berumur 18 tahun keatas; dan
    • Tidak muflis dan juga tidak sakit yang boleh membawa kematian (maradh al-maut).
  1. Adakah Hibah boleh dibuat oleh orang bukan Islam?
    Boleh.
  1. Apakah syarat untuk menjadi Penerima Hibah?
    Penerima hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja (Islam dan bukan Islam) yang boleh memiliki harta sama ada mukallaf (dewasa) atau bukan mukallaf. Bagi yang bukan mukallaf, penerimaan harta hibah boleh dibuat oleh wali, wasi atau penjaga.
  1. Bolehkah Hibah dilakukan tanpa pengetahuan Penerima Hibah?
    Tidak. Di antara syarat Hibah adalah terdapatnya akad di antara Penghibah dan Penerima Hibah serta berlakunya qabd (penerimaan).
  1. Bolehkah pembatalan Hibah dilakukan? Jika boleh, apakah situasinya?
    Pembatalan Hibah tidak dibolehkan kecuali jika ianya melibatkan pemberian Hibah di antara keluarga seperti dari ibu/bapa kepada anak atau datuk/nenek kepada cucu.
    Tetapi, pembatalan hibah adalah harus sekiranya ianya dilakukan secara redha meredhai antara Pemberi dan Penerima Hibah.

    Walau bagaimanapun ia terikat dengan syarat bahawa harta tersebut masih lagi di dalam pemilikan anak/cucunya. Sekiranya harta itu terkeluar dari kekuasaan dan pemilikan anak/cucunya seperti telah dijual, diwakaf atau dihibah kepada orang lain dan harta itu telah diterima oleh Penerima Hibah (orang lain), maka Hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik lagi. Namun jika di bawah pengawasan Pemegang Amanah, anak/cucu tidak boleh menjual, mewakafkan atau menghibahkan harta tersebut sehingga waktu yang telah dipersetujui.
  1. Apakah kuasa Penghibah ke atas harta selepas dihibahkan?
    Selepas harta dihibahkan, Penghibah tidak mempunyai kuasa ke atas harta tersebut namun boleh meletakkan syarat tertentu untuk menikmati manfaat daripada harta yang dihibahkan dengan persetujuan penerima hibah.
  1. Apakah yang akan berlaku kepada harta Hibah sekiranya Penerima Hibah meninggal dunia sebelum Penghibah?
    Jika Penerima Hibah meninggal dunia sebelum Penghibah, harta yang dihibahkan akan menjadi harta pusaka Penerima Hibah dan tidak akan dikembalikan kepada Penghibah kecuali melalui kaedah-kaedah yang dibenarkan oleh hukum syarak.
  1. Bagaimanakah mekanisma Hibah itu berjalan ?
    Seseorang yang ingin menghibahkan sesuatu hartanya kepada Penerima Hibah, beliau perlu melengkapkan Borang Hibah AmanahRaya dan seterusnya mengikuti prosedur yang ditetapkan oleh Amanah Raya Berhad.
  1. Apakah dokumen/perkara yang diperlukan sekiranya saya ingin melanggan produk Hibah AmanahRaya?
    Dokumen-dokumen yang diperlukan adalah seperti berikut :
    • Borang Permohonan Hibah AmanahRaya
    • Salinan Kad Pengenalan Penghibah/Penerima Hibah/Wali Mal/Penjaga/Saksi
    • Bayaran Fi Hibah AmanahRaya

    Bagi Harta Tak Alih

    • Salinan Surat Hakmilik Tanah (Geran Tanah/ Hakmilik Strata)
    • Salinan Polisi Insurans Kebakaran
    • Resit Asal Cukai Tanah/ Cukai Taksiran Terkini
    • Resit Asal Cukai Pintu
    • Bayaran Wang Pendahuluan Perbelanjaan
    • Fi Hibah AmanahRaya
    • Anggaran jumlah setem duti  ad valorem

    Bagi Harta Alih

    • Tunai/ Cek (sebagai harta hibah).
 

 

 

© 2013 AmanahRaya. Hak cipta Terpelihara. | Peta Laman | Terma & Syarat | Dasar Polisi | Intranet AmanahRaya | Webmail